MANILA – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan empat lagi cedera akibat letupan bom tangan di dalam sebuah masjid di bandar Zamboanga, selatan Filipina pagi ini, kata pihak tentera.
Markas Mindanao Barat menyatakan, bom tangan itu dibaling oleh seorang penyerang tidak dikenali di dalam masjid berkenaan.
Menurut polis, kebanyakan mangsa, yang merupakan pendakwah dari Pulau Basilan dan beberapa wilayah berdekatan, sedang tidur ketika serangan berlaku.
Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa belum ada pihak mengaku bertanggungjawab atas keganasan tersebut.
“Insiden ini masih disiasat. Kami sedang membantu mangsa yang cedera di Pusat Rawatan Bandar Zamboanga,” kata Komander Pasukan Bertindak Bersama Zamboanga, Kolonel Leonel Nicolas.
Menurutnya, sebilangan askar dan anggota polis dihantar ke masjid tersebut selepas letupan berlaku.
Serangan ke atas masjid itu berlaku tiga hari selepas letupan berkembar menggegarkan sebuah gereja di Pulau Jolo, selatan Filipina pada Ahad lalu. Serangan itu mengakibatkan 21 orang terbunuh dan 11 yang lain cedera. – Bernama










