SHAH ALAM – Seorang penumpang kereta maut apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu kenalannya hilang kawalan sebelum terbabas dalam satu kejadian di Bulatan Elmina Valley, Seksyen U15 di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, Sharina Zee Alexander, 35, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Sementara itu, pemandu kereta berkenaan, Ng Tiong Sin, 53, mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Mohd. Apandi Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.56 malam sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, anggotanya itu tiba dilolasi kejadian kira-kira 10 minit kemudiannya.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa masih berada di dalam kereta berkenaan. Anggota kemudiannya menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.
“Penumpang kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandunya mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Apandi berkata, mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan awal pihak kita mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain,”jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – K! ONLINE










