Penubuhan RCI Wang Kelian dialu-alukan - KPN - Utusan Malaysia

Penubuhan RCI Wang Kelian dialu-alukan – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas yang diumumkan Kerajaan Persekutuan kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM juga telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk membuat persiapan bagi menghadiri dan memberi apa jua keperluan RCI tersebut.

“Saya pernah menyebut mengenai perkara ini beberapa bulan lalu, jadi sekarang pegawai serta semua yang terlibat dengan penugasan siasatan berkaitan Wang Kelian akan dipanggil.

“Kita akan buat persiapan sewajarnya bagi memastikan proses RCI tersebut dapat berjalan dengan lancar,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senarai individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu telah pun ada dan akan diserahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci mengenai bila ia akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau nama individu yang akan menganggotai suruhanjaya itu.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran, Mohamad Fuzi berkata beliau masih belum dimaklumkan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad mengenai perkara itu.

“Kita akan ambil tindakan berdasarkan laporan yang dibuat, bagaimanapun, kita akan kaji aspek kesalahan sama ada berkaitan dengan tanggungjawab polis, SPR atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

“Setakat ini, beliau (Manogaran) masih belum dipanggil untuk memberi keterangan lagi,” jelasnya. 

Semalam, media melaporkan SPR telah membuat laporan polis terhadap Manogaran selepas beliau memasuki pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut, Hulu Jelai pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×