Penolong Pengarah, pembantu Tadbir universiti ditahan terima rasuah lebih RM30,000 - Utusan Malaysia

Penolong Pengarah, pembantu Tadbir universiti ditahan terima rasuah lebih RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Dua individu termasuk Penolong Pengarah sebuah universiti awam di negeri ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung rasuah bernilai lebih RM30,000 bagi kerja-kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut, malam tadi. 

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 42 dan 47 tahun itu ditahan pukul 10.45 malam selepas mereka hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi memberi keterangan.

Katanya, seorang lagi suspek yang ditahan adalah pembantu tadbir kanan di universiti sama. 

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat menerima suapan bernilai lebih RM30,000 daripada pemilik syarikat pengiklanan sebagai balasan memilih dan mengesyor syarikat tersebut bagi kerja pembekalan dan percetakan di universiti tersebut.

“Permohonan perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dilakukan pagi ini di Mahkamah Majistret Shah Alam,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Sumber sama turut memaklumkan kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×