Penipuan vaksin haiwan muncul kembali - Utusan Malaysia

Penipuan vaksin haiwan muncul kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Pemilik haiwan ternakan dan juga veterinar diingatkan supaya berjaga-jaga berikutan kemunculan semula kes penipuan vaksin sejak tiga tahun lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kes berkenaan dilaporkan berlaku sejak 2011 dan sehingga tahun lalu, sebanyak 14 kes telah dilaporkan.

“Modus operandi sindiket ini menjurus kepada ‘Parcel Scam’ dan jenayah E-Commerce.

“Mangsa akan menerima email daripada pihak yang kononnya membekalkan vaksin haiwan ternakan antaranya ‘Adequan1.m Equine’ untuk kuda, namun selepas pembayaran dibuat kepada akaun keldai dadah, tiada sebarang bekalan vaksin diterima,” jelasnya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Saiful Azly, walaupun jumlah kerugian dialami sepanjang 2011 hingga tahun lalu tidak mencecah jutaan ringgit, namun pihak berkenaan perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut.

“Jika melihat kepada statistik, pada 2011 hanya satu kes dilaporkan manakala pada 2016 dua kes, 2017 enam kes dan tahun lalu sebanyak lima kes.

“Keseluruhan jumlah kerugian yang dialami mangsa bagi 14 kes tersebut adalah sebanyak RM207,800,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN