Peniaga Ukir Mall resah tiada pelanggan - Utusan Malaysia

Peniaga Ukir Mall resah tiada pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kalangan pemilik premis di Ukir Mall di sini resah apabila perniagaan mereka semakin merosot selepas peniaga Kompleks Pekan Rabu berpindah ke bangunan baharu pada Februari tahun lalu.

Tinjauan hari ini mendapati bangunan perniagaan tersebut suram tanpa pengunjung dan hanya kira-kira 20 kedai beroperasi.

Pengusaha spa, Zanifah Mansor, 53, berkata, bangunan Ukir Mall sebelum ini menempatkan peniaga Pekan Rabu sejak tahun 2015 sementara menunggu kompleks baharu siap.

“Perniagaan boleh dikatakan baik walaupun jumlah pengunjung tidak memberangsangkan kerana kedai spa saya terletak di tingkat dua.

“Walaubagaimanapun, perniagaan saya semakin teruk selepas semua peniaga Pekan Rabu berpindah ke kompleks baharu awal tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Ukir Mall di sini hari ini.

Justeru, dia berharap agar Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dapat menghidupkan semula perniagaan di bangunan tersebut dengan mengadakan pasar tani di kawasan berkenaan.

Peniaga pakaian dan kelengkapan umrah, Che Dah Ahmad, 64, pula mencadangkan agar bangunan itu dijadikan sebagai Kompleks Pekan Rabu 2.

“PKNK perlu pastikan kesemua 90 kedai di sini beroperasi berbanding ketika ini hanya kira-kira 20 kedai sahaja. Rancakkan kembali perniagaan di sini seperti Kompleks Pekan Rabu yang menjadi tumpuan pelancong mencari juadah dan pakaian tradisional,” katanya.

Che Dah pada masa sama berharap agar PKNK dapat mempertimbangkan untuk menurunkan lagi kadar sewa yang kini ditetapkan antara RM350 hingga RM2,000 mengikut keluasan kedai.

Pengusaha nombor plat kenderaan, Abd Rahman Daud, 55, berkata, walaupun berdepan dengan masalah kekurangan pengunjung, dia menghargai keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengekalkan kadar lama sewa pada separuh harga.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN