KUALA LUMPUR 27 Jan. – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands mengajar satu perkara yang sangat penting iaitu rakyat terutamanya orang Melayu dan Orang Asli enggan membenarkan undian mereka dimenangi melalui ugutan serta penghinaan.
Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mereka juga setia dengan perjuangan BN dan mengingati kebaikan yang pernah dicurahkan, walau pun sekelumit sewaktu memerintah dahulu.
Namun, katanya, budi baik yang diberikan BN selama memerintah negara akhirnya dikenang juga.
“Kepada seluruh pengundi Cameron Highlands, terima kasih kerana tidak meninggalkan kami dan terus menyakini BN. Kami akan selamanya terhutang budi atas ikhlasnya kalian dalam mendukung perjuangan kami demi Malaysia yang lebih baik.
“Keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands bukan sahaja sangat penting, tetapi juga kemenangan manis dan penuh pengajaran. Manis kerana kita meraih kemenangan di saat kita tidak punya segalanya kecuali perpaduan dan kesatuan dalam mencapai matlamat yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad, kemenangan BN pada PRK kali ini penuh dengan pengajaran kerana ia menampilkan dengan nyata perasaan komuniti-komuniti kecil di Cameron Highlands, terutamanya Orang Asli mengenai wakil yang mereka kehendaki di Putrajaya.
Katanya, ini merupakan satu amanat besar bagi BN dan Pas dan kedua-duanya akan bekerjasama untuk memenuhi amanat yang dipertanggungjawabkan ke atas kerjasama yang terjalin itu.
“Tanpa sebuah ikatan atau kerjasama formal, kedua-duanya saling mendukung demi kebaikan negara ini. Kami juga berikrar menggabungkan usaha demi perpaduan kaum Melayu dan umat Islam di Malaysia.
“Akhirnya yang menang ialah rakyat dan kepentingan mereka. Cameron Highlands juga mengajar kita kepada Pakatan Harapan, ini adalah permulaan kepada kebangkitan semula BN. Kami tidak akan berhenti sehingga Putrajaya itu kami miliki semula, Insya-Allah!,” ujarnya.










