Pemuda dicekup curi panadol di pasar raya - Utusan Malaysia

Pemuda dicekup curi panadol di pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 7 Jan. – Seorang lelaki diberkas manakala rakannya berjaya meloloskan diri bersama 55 buah kotak pelbagai jenis ubat di sebuah pasar raya di Lembah Impiana, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, suspek yang berusia 22 tahun dicekup pengawal keselamatan pasar raya itu, manakala rakannya berjaya melarikan diri bersama ubat terbabit bernilai RM800.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, seorang pengawal keselamatan mengesan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan lalu bertindak mengekori mereka.

“Pengawal keselamatan itu kemudian melihat suspek memasukkan beberapa kotak ubat ke dalam beg sandangnya sebelum menahannya untuk pemeriksaan. Namun tiba-tiba seorang suspek melarikan diri bersama ubat-ubat itu dengan melompat keluar di bahagian kaunter juruwang,” katanya, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Nasir, rakan suspek yang tidak sempat melarikan diri itu ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rakannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN