KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti supaya tidak sombong dengan kemenangan yang dicapai di Johor dan Negeri Sembilan kerana ia bukan jaminan parti itu akan terus menang pada masa akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu antara amanat Presiden yang disampaikan dalam taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.
Malah, UMNO juga perlu terus bekerja dan meyakinkan rakyat bahawa parti serta Barisan Nasional (BN) telah mengambil pengajaran daripada kelemahan sebelum ini.
“Kita menang Johor dan kita menang Negeri Sembilan, itu tidak bermakna kita boleh menang selama-lamanya.
“Jadi, kita jangan sombong. Kita terus buat kerja.
“Kita kena meyakinkan rakyat bahawa BN ini telah banyak benda yang kita sudah belajar dan kita akan cuba membaiki segala kelemahan yang kita ada.” katanya ketika ditemui pemberita selepas Taklimat Presiden UMNO di sini hari ini.
Menurut Johari, peringatan berkenaan perlu diambil serius oleh setiap pemimpin dan calon yang bakal mewakili parti dalam pilihan raya.
Katanya, usaha memperbaiki kelemahan dan terus bekerja penting bagi memastikan UMNO serta BN kekal mendapat kepercayaan rakyat.
“Setiap calon kita yang hendak bertanding, mereka semua mesti ambil ini sebagai satu perkara yang sangat penting untuk memastikan parti dan juga BN akan terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN










