SEREMBAN: Kedai Emas Sri Semantan (KESS) kini menaja pasukan Liga Semi-Pro A1, Kelantan City FC (KCFC) dengan jumlah sebanyak RM2 juta untuk sepanjang musim 2026/27 ini.
Pasukan yang kini menduduki tangga keempat liga dengan satu kemenangan dan satu seri menjadi pilihan KESS untuk penajaan tersebut.
Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, tarikan utama yang mendorong penajaan itu ialah kesetiaan dan reaksi para penyokong kepada pasukan itu.
“Kekuatan penyokong KCFC sesuai untuk diterapkan dengan KESS.
“Kita lihat sokongan itu amat padu dan itu mendorong KESS untuk menaja pasukan KCFC,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini menjelang perlawanan pusingan kedua Piala FA antara KCFC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Pada perlawanan itu, KCFC layak ke suku akhir Piala FA selepas menumpaskan NSFC dengan aggreget 4-3.
Yang turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Datuk Ahmad Razali Azmi dan Pegawai Perhubungan Korporat KESS, Muhammad Fadzli Saud.
Tidak cukup dengan penajaan itu, Mohamad Hafizal berikrar untuk menyalurkan tajaan sehingga RM5 juta jika KCFC layak ke Liga Super musim depan.
“Pasukan ini terdiri daripada para pemain muda dan semangat mereka kuat. Jadi saya cuba untuk menaja sebanyak RM5 juta sebagai pembakar semangat kepada mereka.
“Saya yakin mereka boleh melakukannya,” ujarnya.
KESS sebelum ini pernah menaja sebanyak RM5 juta untuk Sabah FC yang tersenarai dalam Liga Super.










