BEIRUT 19 Jan. – Ribut salji dan cuaca buruk sejak berminggu lalu menjadikan lembah Bekaa dekat Delhamiyeh, Lebanon bertukar menjadi ‘kawasan berpaya’ yang menempatkan puluhan ribu pelarian Syria.
Arab News melaporkan, limpahan air dari Sungai Litani membanjiri banyak kawasan di lembah tersebut selepas ribut kedua tahun ini melanda sejak Rabu lalu.
Sesetengah keluarga baru sahaja membaik pulih khemah mereka akibat ribut tetapi berdepan pula salji, angin kencang dan terkini banjir yang memburukkan keadaan.
“Kami menghabiskan sepanjang malam mengosongkan khemah untuk dibaik pulih tetapi banjir pula yang datang.
“Ini musim sejuk yang paling teruk,” jelas Thaer Ibrahim Mohammed.
Tempat perlindungan di ‘Camp 040’ yang terletak di pinggir Delhamiyeh itu merupakan salah satu daripada banyak penempatan tidak rasmi pelarian.
Mereka mendirikan khemah-khemah daripada bahan terbuang.
Dinding-dinding khemah juga tidak berupaya untuk ‘melawan’ angin kencang dan suhu sejuk.
Kebanyakan penduduknya tinggal di sini sejak 2012, apabila konflik Syria semakin meningkat.
Abu Ahmad, yang berasal dari Homs menghabiskan musim ketujuhnya di sini berkata, bantuan yang diharapkan daripada pelbagai pihak tidak mencukupi.
“Tahun ini banyak berlaku hujan. Tetapi organisasi kemanusiaan telah mengurangkan bantuan,” katanya.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjelaskan, kehidupan hampir 24,000 orang pelarian di kawasan tersebut terjejas akibat cuaca melampau.
Fatima, seorang pelarian berusia 20 tahun yang berasal dari bandar Aleppo di utara Syria, terpaksa meninggalkan khemah bersama keluarganya dan menumpang secara berhimpit-himpit dengan jiran.










