DUNGUN 5 Jan. – Seorang pelajar yang baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang dibonceng gagal mengelak seekor khinzir melintas dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Jongok Batu – Kuala Jengai, Hulu Dungun petang semalam.
Izzul Fitri Rosdi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas yang cedera parah di leher disahkan meninggal dunia setiba di Klinik Desa Kuala Jengai manakala rakannya yang menunggang motosikal itu, Muhammad Hafeezi Mohd. Sham Suddin, 18, cedera.
Kejadian berlaku pukul 5.30 petang sewaktu kedua-dua mangsa bersama lima lagi rakan merekabergerak secara konvoi dalam perjalanan pulang dari berkelah di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun.
Kesemua mereka dikatakan berkunjung ke tempat perkelahan itu untuk menghabiskan cuti hujung minggu selain menikmati keseronokan selepas selesai menduduki SPM yang berakhir Disember lalu.
Bagaimanapun setiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai gagal mengelak seekor khinzir yang secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke dalam gaung di situ.
Berikutan itu, Izzul Fitri yang cedera parah dikejarkan ke Klinik Desa Kuala Jengai dengan bantuan rakan-rakannya namun mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di klinik berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan urusan pengebumian. – UTUSAN ONLINE










