Pegawai, anggota polis terlibat siasatan kes Wang Kelian dipanggil beri keterangan - Utusan Malaysia

Pegawai, anggota polis terlibat siasatan kes Wang Kelian dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam siasatan berhubung sindiket pemerdagangan manusia di sebuah kawasan perkuburan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis pada tahun 2015 akan dipanggil untuk memberikan keterangan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Ia susulan daripada kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu bahawa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya itu bagi menyiasat dengan lebih mendalam kes yang pernah menggemparkan negara ini empat tahun lalu.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan salah faham dan buruk sangka dalam kalangan masyarakat dan nama ahli yang akan menganggotai suruhanjaya itu sudah dicadangkan untuk mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Ketika diminta untuk mengulas perkara tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membentuk sebuah jawatankuasa yang bertujuan memberikan apa sahaja keperluan oleh RCI itu nanti.

“Keperluan itu termasuk anggota dan pegawai yang akan memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

“Kita mengalukan perkara tersebut dan proses tersebut akan berjalan dengan lancar dengan adanya kerjasama daripada pihak polis,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM serta Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan di Pulapol di sini hari ini.

Kosmo! pada 27 Mei 2015 melaporkan polis menemui 37 kubur yang dipercayai kubur pendatang asing mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kawasan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian Perlis.

Mayat-mayat tersebut ditemui dalam keadaan sempurna dikafankan dan turut ditemui barangan keperluan mangsa dalam kawasan khemamah yang dikelilingi pagar dawai berduri dan juga mempunyai kandang kurungan bagi mengurung perlarian yang cuba melarikan diri.

Setiap pelarian meninggal dunia atau mati kerana dipukul dan ditanam di kawasan berhampiran di situ. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN