KUALA LUMPUR 29 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Pengarah Jabatan Pengurusan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) baharu dalam Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jawatan Pengarah Pengurusan yang sebelum ini dipangku Timbalannya, Datuk Abd. Jalil Hassan diserahkan kepada bekas Ketua Polis Kedah, Datuk Abd. Rahim Jaafar, manakala jawatan Pengarah JSJK yang sebelum ini dipangku Timbalannya, Datuk Saiful Azly Kamaruddin diserahkan kepada bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang menyaksikan serahan tugas tersebut berkata, beliau berharap pelantikan Abd. Rahim mampu memperkasakan lagi urus tadbir Jabatan Pengurusan yang menjadi nadi utama PDRM.
“Di bahu beliau (Abd. Rahim) kini terpikul tanggungjawab yang amat besar untuk memacu jentera pentadbiran pasukan agar lebih mantap bagi mengawal selia pelbagai aspek, antaranya latihan, pembangunan kerjaya, saraan dan kebajikan seluruh warga PDRM.
“Bagi Mazlan pula, saya amat yakin pengetahuan serta pengalaman luas serta kejayaan ketika menerajui Polis Kontinjen Selangor akan membawa JSJK ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam majlis yang sama, sebanyak 19 pegawai kanan PDRM turut menerima pemakaian pangkat antaranya Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner (CP) dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias yang dinaikkan pangkat kepada Deputi Komisioner (DCP).
Turut diraikan dalam majlis tersebut adalah 54 pegawai dan anggota PDRM yang menerima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara sebagai tanda penghargaan kerana telah menabur jasa kepada pasukan dan negara.
Mohamad Fuzi ketika berucap selepas menyempurnakan ketiga-tiga acara tersebut berharap kenaikan pangkat dan penganugerahan berkenaan menjadi pendorong kepada seluruh warga pasukan untuk terus beristiqamah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, demi kepentingan masyarakat dan negara. – UTUSAN ONLINE










