KUALA LUMPUR 29 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau keputusan kerajaan Indonesia untuk membebaskan ulama radikal Abu Bakar Bashir.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, walaupun ia merupakan urusan pihak berkuasa Indonesia, namun PDRM juga sedang membuat pemantauan rapi sama ada pembebasan itu mempunyai kaitan dengan elemen kegiatan yang pernah terlibat dgn Jemaah Islamiah dan sebagainya.
“Proses pemantauan adalah berterusan yang kita perlu lakukan agar beliau tidak terlibat dalam usaha merekrut atau menghidupkan kembali perjuangan lampau tersebut.
“Kita tahu ada kumpulan serpihan yang berkaitan dengan kegiatannya sebelum ini dan ada elemen ini berhubung dengan pihak di sini, jadi kena pantau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah terima Tugas, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia agar pembebasan ketua pengebom Bali itu tidak menimbulkan masalah keselamatan baharu.
“Terutama dari segi usaha untuk menghidupkan Jemaah Islamiah ataupun lain-lain elemen radikal berkaitan dengan kegiatannya itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah bersetuju untuk melepaskan Abu Bakar yang berusia 80 tahun atas alasan kemanusiaan.
Namun, Menteri Pertahanan Tertingginya, Wiranto dalam sidang akhbar tergempar beberapa hari selepas itu berkata, Joko telah meminta beliau untuk menyelaraskan kajian terhadap semua aspek pelepasan yang dirancang.
Abu Bakar, ketua pengebom Bali dan pelampau di Indonesia dijatuhi hukuman 15 tahun penjara pada tahun 2011 kerana membantu mendirikan sebuah kem latihan gaya tentera di Aceh untuk militan Islam. – UTUSAN ONLINE









