KUALA LUMPUR 29 Jan. – Rakyat Malaysia yang merancang untuk melaksanakan ibadah umrah bakal menikmati pembelian pakej tersebut secara dalam talian tanpa perlu melalui ejen atau syarikat pelancongan.
Pakej umrah dalam talian itu boleh didapati pada Mac depan meliputi pakej lapangan terbang yang lengkap termasuk visa, pengangkutan, hotel, umrah dan ziarah.
“Pakej itu akan mengikuti format E-Haj yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun lalu. Sama seperti tempahan dalam talian lain, perkhidmatan itu disediakan maksimum kepada sembilan tetamu bagi setiap tempahan.
“Jemaah umrah melalui pakej dalam talian itu perlu berkongsi pengangkutan dengan jemaah haji dari negara lain. Bagi terlibat dalam kumpulan jemaah yang besar, mereka mungkin memerlukan perkhidmatan ejen pelancongan dengan lesen umrah khas,” katanya seperti dipetik dalam laporan muka depan New Straits Times di sini hari ini.
Dalam pada itu, Naib Presiden Strategi Perkongsian dan Program Agoda, Damien Pfirsch berkata, sebagai ejen pelancongan global dalam talian pihaknya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Jelasnya, MoU itu bagi membantu Kerajaan Arab Saudi mencapai matlamat 30 juta jemaah haji pada 2030.
“Kita telah melancarkan laman khas, agoda.com/umrah yang memberikan akses kepada jemaah untuk membuat pilihan sebanyak 1,800 penginapan diluluskan di Mekah dan Madinah dengan kadar terbaik ditawarkan Agoda,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Damien menjelaskan, Agoda tidak dapat memberikan butiran lengkap mengenai produk dan pakej umrah yang akan ditawarkan kerana masih berada di peringkat awal. –UTUSAN ONLINE










