Orang bujang juga mempunyai tanggungan... - Utusan Malaysia

Orang bujang juga mempunyai tanggungan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja orang bujang, sudah pasti ramai yang memperkatakan betapa pentingnya golongan ini perlu bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Ada juga yang berpendapat orang bujang ini hidupnya hanya untuk diri sendiri tanpa perlu memikirkan komitmen lain seperti golongan yang sudah berkeluarga. Mungkin kerana itu juga kerajaan menetapkan golongan bujang antara kategori pemohon yang tidak layak menerima bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019.

Hakikatnya, orang bujang juga mempunyai komitmen mereka. Sewa rumah, bil telefon, hutang pinjaman bank, duit untuk mak dan ayah di kampung dan kos-kos lain yang terpaksa ditanggung dalam kehidupan seharian masing-masing. Bagi mereka yang tinggal di bandar, sudah tentu tekanan kos sara hidup ini amat terasa.

Walaupun berpakaian kemeja kemas yang dipadankan dengan seluar slack hitam serta rambut lebat disisir ke belakang seperti menampakkan kemewahan orang bujang, ramai yang tidak sedar betapa golongan ini dihimpit dengan pelbagai cabaran kewangan memandangkan keadaan ekonomi negara juga berada dalam keadaan tidak stabil ketika ini.

Maka, di sini lah para-para menteri perlu memainkan peranan mereka untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup masyarakat termasuk orang bujang. Janganlah menganggap rintihan golongan ini sebagai pemalas dan manja.

Tanggungjawab pak menteri bukan untuk menyenangkan anak cucu mereka sahaja, tetapi perlu menyenangkan anak-anak Malaysia yang telah memberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ingatlah janji-janji manis ketika berada sebaris dengan rakyat.

Usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup bukan sekadar memberi bantuan kewangan seperti BSH semata-mata. Banyak lagi aspek yang boleh difokuskan pak menteri yang mempunyai kuasa sebagai kerajaan.

Memandangkan manifesto Pakatan Harapan bukan kitab suci yang sama sekali tidak boleh diubah, maka olahlah kembali janji-janji dalam Buku Harapan untuk membantu rakyat dengan seikhlas hati. Bukankah perjuangan ahli politik adalah untuk membebaskan rakyat dari kezaliman sebelum menjadi menteri?

Sempena tahun baharu ini, jadikanlah penyelesaian masalah kos sara hidup sebagai azam tahun baharu yang perlu dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN