ALOR SETAR – Polis Kedah mengenal pasti enam kawasan panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini dan akan diberi tumpuan menerusi Op Selamat 14/2019 bersempena Tahun Baru Cina yang dilaksanakan bermula semalam hingga 12 Februari depan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, langkah itu bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.
Lokasi berkenaan melibatkan lima daerah iaitu Kota Setar di Kilometer (KM) 46.5 Lebuhraya Utara-Selatan; Kubang Pasu (KM20 Lebuhraya Utara-Selatan); Pendang (KM63.1 Lebuhraya Utara-Selatan); Bandar Baharu (KM 171.3 Lebuhraya Utara-Selatan Arah Utara) dan Kuala Muda di KM109.4 serta KM83.3 Lebuhraya Utara-Selatan.
“Op Selamat ini bertujuan meminimumkan jumlah kemalangan jalan raya ketika musim perayaan. Selain itu, Op Selamat ini menekankan kepada keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan semasa perayaan dan seluruh jentera Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan digerakkan untuk memantau keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Isma Suhaimi Shariff dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, Senior Asisten Komisoner Mior Faridalathrash Wahid. – Bernama










