KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 individu daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuat laporan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa individu lain berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, laporan tersebut dibuat bagi menggesa pihak polis menyiasat penglibatan tiga individu yang didakwa cuba melindungi pembunuh Muhammad Adib.
“Pada malam ini kami membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung penglibatan mereka yang disyaki cuba untuk melindungi pembunuh Muhammad Adib.
“Kami juga mendapat maklumat bahawa terdapat desakan daripada pihak-pihak tertentu untuk mengubah status kematian Muhammad Adib daripada mati akibat dipukul kepada mati akibat dilanggar kenderaan,” katanya pada satu sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Antara NGO yang hadir bagi memberikan sokongan adalah Gerakan Srikandi Muslimah, Gerakan Suara Rakyat dan Pertubuhan Bersatu Abata.
Kesemua ahli NGO terlibat sebelum itu berkumpul di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman kira-kira pukul 9 malam sebelum berarak ke IPD Dang Wangi bagi membuat laporan polis.
Lokman mendakwa, desakan tersebut telah dibuat oleh beberapa individu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy di dalam satu mesyuarat kabinet yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri.
“Desakan tersebut dibuat kononnya bagi mengelak daripada berlakunya rusuhan kaum sekiranya laporan bedah siasat didedahkan kepada umum kelak.
“Kami ingin tegaskan ini bukan soal perkauman tapi di antara pemaju dan pihak pengurusan kuil, jadi apa saja dapatan laporan bedah siasat tersebut tidak akan sesekali mengakibatkan rusuhan kaum,” tegas beliau.
Lokman yang juga mengetuai gabungan NGO terbabit berkata, tiada sebab mengapa permohonan polis untuk menukar kertas siasatan daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak diluluskan oleh peguam negara.
“Tommy Thomas juga telah mengarahkan satu inkues berhubung kejadian tersebut dilakukan yang kami percaya dibuat bagi melengahkan pendedahan bedah siasat Muhammad Adib untuk menyelamatkan mereka yg telah dituduh di bawah 307 sebelum ini.
“Sehingga kini inkues tersebut masih belum dimulakan dan keempat-empat tertuduh mungkin telah melarikan diri ke negara-negara yang mengharamkan hukuman mati, seperti Australia,” ujar beliau.
Gabungan NGO tersebut memohon pihak polis menyiasat ketiga-tiga individu yang dinamakan itu terutamanya Perdana Menteri yang telah menyatakan rasa puas hati beliau terhadap prestasi kerja Waytha Moorthy walaupun banyak laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Terdahulu, Muhammad Adib yang juga merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah selepas dipukul sekumpulan perusuh di perkarangan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.
Muhammad Adib kemudiannya menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu sewaktu sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara. – K! ONLINE










