Nasi Kandar Pelita henti jualan rokok - Utusan Malaysia

Nasi Kandar Pelita henti jualan rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 17 Jan. – Rangkaian restoran nasi kandar popular, Nasi Kandar Pelita menghentikan penjualan rokok di 28 cawangan restoran berkenaan di seluruh negara bermula semalam.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen berkata, langkah itu selaras dengan kem­pen kerajaan menjadikan restoran sebagai zon larangan merokok bermula awal bulan ini.

“Selepas kempen ini dimulakan pihak kami merasakan tiada keperluan untuk menjual rokok di restoran lagi.

“Walaupun mengalami sedi­kit kerugian dengan keputusan ini tetapi kami yakin ia boleh diatasi dalam terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bermula 1 Januari lalu, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.

Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Menurut Sihabutheen, kontrak jualan rokok dengan beberapa syarikat rokok sepatutnya tamat pada pertengahan tahun depan namun kontrak itu dapat ditamatkan dengan lebih awal.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, pemilik restoran yang lain wajar mengikut langkah berani pemilik Nasi Kandar Pelita demi kesihatan rakyat.

“Bukan mudah untuk kita ubah tabiat merokok yang te­lah sebati dengan masyarakat ini namun saya yakin lama kelamaan tabiat ini akan dapat diubah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×