KUALA LUMPUR: UMNO mahu persefahaman antara parti-parti politik Melayu dibentuk sebagai formula baharu menyatukan kekuatan setiap parti terlibat.
Persefahaman politik atau isitilahnya iaitu Tafahum Siyasi bertujuan untuk mengelakkan pertembungan dalam menghadapi pilihan raya yang jelas sebelum ini merugikan parti-parti Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha bagi penyatuan politik Melayu itu juga adalah bagi memenuhi kehendak orang Melayu sendiri yang tidak mahu melihat perpecahan daripada berterusan berlaku.
“Saya boleh baca resah orang Melayu, mereka tidak mahu bertembung, mereka tidak mahu kita berbalah sesama sendiri.
“Di dewan ini, kita pernah melalui episod linangan air mata, di pentas ini kita berjanji bersedia. Di luar persaudaraan disambut gembira namun perpecahan berlaku semula kerana kehadiran orang ketiga meretakkan hubungan dibina.
“Sudah-sudahlah. Kita lupakan episod lama kita, mari kita jalin semua penyatuan ini yang begitu didambakan orang Melayu seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.
Beliau menambah, persefahaman politik yang mahu dibentuk perlu mempunyai asas yang disepakati bersama serta menghormati perbezaan ideologi serta pegangan masing-masing.
Katanya lagi, persefahaman tersebut juga bukan diwujudkan kerana ada musuh yang sama tetapi demi kestabilan politik negara, merancakkan ekonomi demi kemakmuran.
“Ia bagi menjalin keadilan kepada semua, memperkukuhkan keadilan rakyat antara wilayah dan paling penting mewujudkan sebuah negara yang aman damai,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Zahid lagi, dalam usaha membina persefahaman berkenaan, UMNO tidak akan memaksa mana-mana pihak untuk ‘mencairkan’ identiti masing-masing.
“Dalam kata lain, dengan siapa pun kita bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional. Untuk itu, persefahaman politik ini atau dalam istilahnya disebut Tafahum Siyasi mempunyai asas-asas yang perlu disepakati bersama.
“Jangan khianat-mengkhianati, jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri. Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya.
Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Tafahum Siyasi yang disyorkan tersebut selaras dengan idea Kolaborasi Agung yang pernah dikemukakan UMNO sebelum ini yang bukan sekadar mengenai penggabungan parti.
Mengambil contoh pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’, Ahmad Zahid berkata, kemenangan tidak hanya diukur pada kemampuan memperoleh kuasa, sebaliknya ukuran yang lebih besar adalah bagaimana kuasa itu digunakan setelah kemenangan berada di tangan.
“Maka Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil ibrah Perjanjian Hudaibiyah yang menatijahkan hikmah yang cukup besar, sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, kekuatan politik UMNO bersama Pas mampu mengubah landskap politik negara iaitu menerusi formula perkongsian kuasa.
Katanya, UMNO-BN mahu menjadi induk dalam politik negara namun pada masa yang sama bersedia berkongsi kuasa dengan parti lain dalam membina sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat majmuk.
“Amanah ini berbeza dengan kepimpinan dan dominasi, dominasi yang mahu orang lain tunduk. Kepimpinan kita adalah untuk mencipta keyakinan bagi membuatkan orang lain yakin untuk berjalan bersama dengan kita dan bagi kita di situlah letaknya makna sebenar keindukan dalam kemajmukan.
“Sebab itu MCA, MIC, PBRS, PPP serta Friends of BN bukan sekadar penghias pentas pada musim pilihan raya.
“Kita dan mereka adalah sebahagian daripada sejarah masa depan dan sebuah formula politik Melayu mampu memimpin perkongsian kuasa bersama-sama yang lain, apatah lagi bila biru bertemu hijau, pastinya warna akan berubah.
“Kita mahu orang Melayu kuat, tanpa orang lain hidup dalam ketakutan, saya mahu Islam terus dimartabatkan tanpa orang lain berasa terancam, mahu UMNO dan BN menjadi induk dalam politik negara ini tetapi cukup besar jiwa untuk kita sama-sama berkongsi kekuasaan,” katanya lagi.-UTUSAN.










