PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2026 berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bukan sekadar medan menghimpunkan perwakilan tetapi ruang buat parti menilai kembali kekuatan, kelemahan dan arah perjuangannya.
Antara yang mencuri perhatian adalah gagasan Rumah Bangsa dan seruan penyatuan ummah yang kembali ditekankan kepimpinan UMNO. Kehadiran pimpinan utama Pas pada PAU semalam juga memberikan isyarat hubungan kedua-dua parti semakin terbuka. Antara yang hadir ialah Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Perkembangan itu tentunya menarik perhatian kerana hubungan UMNO-Pas pernah berada pada satu tahap yang cukup rapat menerusi Muafakat Nasional sebelum kedua-duanya membawa haluan berbeza.
Kini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kedua-dua parti sekali lagi dilihat semakin hampir untuk kembali bersama. Namun, politik bukan sekadar soal bersalam, duduk semeja atau hadir ke perhimpunan kerana yang lebih penting ialah apakah bentuk persefahaman yang mampu diterjemahkan dan sejauh mana ia benar-benar membawa manfaat kepada rakyat?
Jalinan itu tidak harus berhenti sebagai slogan yang sedap didengar. Kalau mahu menjadi wadah penyatuan, ia perlu diterjemahkan melalui dasar dan tindakan meyakinkan, bukan sekadar membangkitkan semangat ketika musim pilihan raya. Banyak perkataan baharu yang ditampilkan tetapi sejauh mana ia mampu membangkitkan rasa dalam kalangan rakyat yang juga pengundi, adalah isu utama yang perlu diberikan perhatian.
Jika UMNO benar-benar mahu kembali menjadi pilihan rakyat, parti itu perlu ketengahkan calon yang diyakini, dasar yang jelas dan penyelesaian terhadap masalah yang dekat dengan kehidupan rakyat. Usahlah pilih pemimpin yang tangkap muat, buat rakyat gelak saja. Tetapi apa ukuran tangkap muat? Fikirlah-fikirkanlah.
PRN Melaka bakal menjadi ujian sekali lagi. Rundingan kerjasama masih terbuka dengan keputusan muktamad belum dibuat. Dalam keadaan itu, jangan sampai usaha mencari titik temu akhirnya berubah menjadi perebutan kerusi dan kepentingan politik.
Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terikat dengan nostalgia atau kesetiaan lama. Mereka menilai calon, prestasi, rekod dan kemampuan parti menawarkan masa depan yang lebih baik. Sebab itu, setiap ucapan di PAU perlu dibawa keluar dari dewan. Rakyat memerhati yang pada akhirnya, bukan siapa paling lantang berucap jadi penentu masa depan UMNO tetapi siapa yang mampu membuktikan kata-kata itu melalui perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia mengucapkan salam takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak Selasa lalu yang membabitkan juruterbang Layang-Layang Aerospace Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Pegawai Perubatan KKM, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit anak Henry, 31; serta dua jururawat, Deborah anak Moset, 40, dan Jessie Paya Jo, 44. Hentikan tuding-menuding mencari siapa yang salah, sebaliknya perkemas dan tambah baik apa yang kurang. Insiden ini patut dijadikan iktibar bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita, Utusan Malaysia
Ucapan perlu diterjemahkan, rakyat memerhati

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved