PUTRAJAYA 29 Jan.- Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 merupakan satu ketegasan kerajaan bahawa ‘pesalah lalu telah dan sedang kita kejar serta akan dihukum’ manakala ‘perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan tindakan lebih tegas.’
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia adalah satu bukti bahawa tindakan diambil terhadap perasuah-perasuah lalu bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.
“Ia satu tindakan yang diambil kerana kerosakan mereka lalukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas.
“Kerana itu, pelan (NACP) ini hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa depan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ianya satu amalan keji dan menjijikkan,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Dr. Mahathir dalam sidang akhbar memaklumkan, NACP merupakan satu usaha kerajaan untuk memerangi rasuah dan amalan tidak berintergriti pada masa hadapan.
Katanya, rasuah dilakukan orang terdahulu akan ditangani proses undang-undang manakala pelan itu merupakan satu amaran tegas kepada beliau sendiri, menteri-menteri, anggota pentadbiran dan orang ramai.
“Pelan ini bukan sahaja menghukum tetapi kita cuba agar kesalahan (rasuah) ini tidak berlaku lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










