PUTRAJAYA 29 Jan.- Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang merupakan satu usaha kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti adalah milik semua rakyat Malaysia.

Sehubungan itu Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menegaskan, NACP bukanlah saru pelan yang hanya melibatkan pihaknya atau Jabatan Perdana Menteri sahaja.
“Oleh itu kami berharap semua pihak akan mengambil peranan masing-masing dalam merealiasasikan apa terkandung dalam NACP ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis Pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada masa sama, Abu Kassim menjelaskan NACP dibentuk melibatkan kepakaran tempatan tanpa memerlukan kerajaan untuk membayar satu sen sekali pun kepada syarikat konsultan antarabangsa.
“NACP adalah hasil kerja kakitangan kerajaan yang menggunakan kepakaran sedia ada dalam negara.
“Apa terkandung dalam pelan ini bukanlah muktamad, daripada masa ke semasa kita akan menilai dan melihat kembali serta mungkin ada tambahan atau pengurangan apa dirancang, bergantung kepada kepada keadaan semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










