KUALA LUMPUR 28 Jan. – Sebanyak 90 projek kebajikan berjaya dilaksanakan oleh 40 sukarelawan MyCorps bagi membantu lebih 9,500 penduduk di 12 lokasi terpilih di seluruh negara.
MyCorps dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua projek berjaya diselesaikan dalam tempoh enam minggu.
12 lokasi tersebut ialah Tongod, Semporna dan Kudat di Sabah; Long Ikang, Long Liwek, Limbang dan Pulau Bruit di Sarawak; Sik, Kedah; Ulu Tembeling, Pahang; Gerik, Perak; Gua Musang, Kelantan dan Kuala Berang, Terengganu.
“Lokasi-lokasi berkenaan dipilih berdasarkan keperluan untuk projek pembangunan sosial seperti akses kepada air bersih, sanitasi sesuai serta mewujudkan persekitaran yang mampan bagi komuniti setempat.
“Projek-projek yang telah dijalankan oleh sukarelawan MyCorps memberi fokus untuk menyelesaikan masalah komuniti,” jelas kenyataan itu, semalam.
Antara projek yang memberi impak besar kepada komuniti setempat adalah Aqueduct di Tongod, Sabah iaitu membina semula, menggantikan, membaik pulih dan merangka semula sistem perpaipan.
Projek berkenaan berjaya memanfaatkan lebih 900 penduduk di empat buah kampung bagi mendapatkan sumber air yang bersih selepas 10 tahun menanggung masalah bekalan.
Di Kampung Charok Tenang, Sik, Kedah pula, kira-kira 600 penduduk kampung turut mendapat manfaat sama selepas sukarelawan MyCorps membaik pulih sistem perpaipan dan penapisan paip Air Masyarakat.
Keadaan paip yang pada mulanya usang dan mempunyai banyak kebocoran dan kerap tersumbat disebabkan daun kering dan pasir dapat diatasi melalui projek Aqua Ranger.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, golongan belia perlu mempunyai imaginasi yang tinggi dan menjadikannya sebagai satu realiti.
“Saya percaya peserta MyCorps mempunyai imaginasi tinggi sehingga mampu menjalankan projek-projek bagi menyelesaikan masalah penduduk kampung.
“Program MyCorps akan diteruskan pada masa depan di bawah kementerian,” katanya ketika berucap dalam majlis Ignition Night MyCorps Malaysia, baru-baru ini.
Program MyCorps Misi 6 @ Malaysia melibatkan penyertaan 40 sukarelawan terpilih setelah membuat permohonan melalui portal volunteer.mycorps.my.
Program MyCops Intermisi @ Malaysia dikendalikan sepenuhnya oleh Sekretariat MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Alumni MyCorps.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri berperanan membantu memantau pelaksanaan program dan memberi khidmat nasihat berkaitan. – UTUSAN ONLINE










