Mercedes bakal dibenci bagi musim 2019 - Utusan Malaysia

Mercedes bakal dibenci bagi musim 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 5 Jan. – Dominasi Mercedes dalam kancah lumba kereta Formula Satu (F1) dijangka tidak akan berakhir apabila pasukan itu berazam untuk mencipta rekod meraih kejuaraan dunia buat kali keenam berturut-turut pada musim 2019 nanti.

Mungkin bagi peminat F1 ia sesuatu yang membosankan tetapi bagi ketua pasukan Mercedes, Toto Wolf, ia satu pemburuan yang menarik untuk disaksikan kerana semua pasukan akan berusaha menghalangnya.

Dengan kata lain, debaran akan terus terasa dan sorakan akan terus bergema untuk melihat pasukan mana yang mampu menyekat dominasi Mercedes sejak 2014 dalam kedua-dua kategori iaitu pelumba dan pengeluar.

“Saya rasa ramai peminat F1 akan menyokong pasukan pencabar Mercedes kerana tidak mahu melihat kami terus mendominasinya. Satu keadaan semulajadi apabila pasukan yang selalu juara akan cuba dihalang.

“Sudah tentu kejatuhan Mercedes amat dinantikan peminat F1 menyebabkan mereka akan menyokong lebih kuat pencabar kami. Tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk memburu kejuaraan keenam berturut-turut,” kata warga Austria itu.

Sejak era penggunaan enjin turbo V6 pada 2014, Lewis Hamilton dan Mercedes tidak pernah terlepas kejuaraan dunia dengan pelumba Britain ini memenangi 51 daripada 100 perlumbaan sepanjang tempoh tersebut.

Dari segi pengeluar pula, hanya Ferrari dan Red Bull yang sedikit berupaya mencabar Mercedes dengan ketiga-tiga pelumba mereka sering dilihat menaiki podium.

Perlumbaan F1 musim 2019 dijadual bermula di Australia pada Mac ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN