Asalnya hanya berkenalan di alam maya melalui Facebook, Akhirnya saya berjaya menubuhkan satu kumpulan yang dinamakan Jom Holiday Bersama. Tidak disangka-sangka penubuhan kumpulan ini mendapat sambutan. Untuk program pertama, kami berpakat untuk bermusafir ke benua Eropah bermula 17 Ogos sehingga 25 Ogos tahun lalu.
Kami bagaikan satu keluarga besar walaupun hanya buat pertama kali bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Segalanya diuruskan oleh rakan kumpulan kami. Dengan menggunakan khidmat penerbangan Vietnam Airlines kami transit di Ho Chi Minh selama empat jam dan meneruskan penerbangan menuju Lapangan Terbang Heathrow, London yang mengambil masa 13 jam. Kota London menyambut kami dengan cuaca yang begitu nyaman iaitu kira-kira 18 darjah Celsius. Masing-masing begitu teruja dapat menjejakkan kaki di kota London.
Hari masih pagi, bas telah sedia menunggu untuk membawa kami ke destinasi pertama iaitu pusat membeli belah di Bicester Village terletak di Northeasten.
Seterusnya kami kembali ke kota London dan singgah di Malaysia Hall untuk solat dan makan tengah hari. Malaysia Hall terletak di kawasan yang begitu tenang daripada kesibukan kota. Kami kemudian dibawa ke pusat bandar untuk membeli-belah dan sempat juga mencuci mata di gedung Harrrods.
Hari seterusnya, kami masih di London. Lawatan dimulakan dengan berkunjung ke Buckingham Palace. Sejam kami berada di sini. Seterusnya ke Westminster Palace, Big Ben dan Tower Bridge. Istimewanya ada di antara kami yang berbaju Melayu dan dengan semangat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang sempena menjelang Hari Kemerdekaan.
Kami turut dibawa ke Central Mosque untuk solat dan makan tengah hari. Begitu luas kawasannya. Masjid ini mula dibangunkan pada awal 70-an yang dibiayai oleh Raja Arab Saudi, Raja Faisal Abdulaziz Al Saud. Masjid ini diperindahkan lagi dengan kubah emas setinggi 44 meter dibiayai oleh pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika itu iaitu, Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan.
Begitu juga dengan Oxford Street tempat wajib dikunjungi. Kawasan yang sering menjadi tumpuan ramai untuk membeli-belah.
Pada hari berikutnya, kira-kira pukul 7 pagi perjalanan diteruskan menuju ke pelabuhan Dover di tenggara England. Kami akan menaiki feri selama sejam untuk ke Calais, Perancis dan seterusnya ke Amsterdam.
Setibanya di Amsterdam, hari masih cerah. Sempat juga kami bergambar kenangan di bumi Belanda. Pada keesokan pagi, kami dibawa ke Zaanese Shans atau lebih dikenali dengan nama Windmill Village di timur sungai Zaan. Di sini terdapat kincir air tradisional yang masih berfungsi dan menjadi salah satu mercu tanda negara Belanda.
Terdapat juga kilang keju, kilang terompah kayu yang begitu unik juga kedai yang menjual barangan cenderamata.
Kami meneruskan perjalanan ke pusat kota Amsterdam. Sebuah kota yang menggabungkan seni bina lama dan baharu. Sebuah kota yang masih memelihara bangunan-bangunan yang berabad lamanya serta kelihatan begitu unik dan klasik. Amsterdam juga dikenali sebagai Venice Of The North kerana terdapat banyak terusan berbentuk Canal ring yang mengelilingi kota ini. Singgah pula di Fatih Camii Mosque, bangunan ini asalnya sebuah gereja katolik. Pada 1981, bangunan itu dibeli dan diubah suai sebagai masjid oleh Yayasan Islam Belanda sempena nama seorang sultan di zaman Uthmaniyyah.
Pada 22 Ogos ketika umat Islam di tanah air menyambut Aidiladha, kami juga tidak ketinggalan. Semua ahli rombongan memakai baju Melayu dan kurung dengan menjadikan pagi tersebut begitu indah. Kami semua bertakbir semasa perjalanan ke Brussels, Belgium. Setibanya di kota Brussels. Kami tidak melepaskan peluang yang ada untuk memotretkan dan mengabadikan kenangan beraya di bumi asing. Selepas itu kami meneruskan musafir di kota ini yang turut mempunyai pelbagai bangunan yang unik dan indah. sebelum ke Paris selepas itu.










