ANKARA 31 Dis. – Misteri kehilangan Jamal Khashoggi dan hubungan komuniti antarabangsa dengan Arab Saudi dilihat ‘semakin tegang’ selepas media Turki mendedahkan satu rakaman video menunjukkan pasukan ‘upahan’ Riyadh membawa sejumlah beg dipercayai mengandungi keratan mayat wartawan itu baru-baru ini.
Al-Jazeera melaporkan, rakaman itu menunjukkan ketibaan pasukan tersebut di kediaman rasmi konsul Arab Saudi di Istanbul pada hari Jamal dibunuh di dalam konsulat yang terletak beberapa ratus meter dari premis berkenaan.
Seorang daripada anggota pasukan tersebut dilihat membawa sejumlah beg yang berkemungkinan mengandungi keratan mayat Jamal.
Jamal yang merupakan kolumnis akhbar Washington Post memasuki Konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu bagi mendapatkan dokumen untuk berkahwin dengan tunangnya yang merupakan warga Turki.
Bagaimanapun beliau dilaporkan hilang dan disahkan dibunuh serta mayatnya dikerat dalam konsulat berkenaan.
Turki menyifatkan insiden pembunuhan itu sebagai rancangan awal yang dilakukan Riyadh, malah mungkin melibatkan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.
Arab Saudi menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan bahawa Jamal terbunuh dalam satu operasi, selain memaklumkan wartawan itu sudah meninggalkan konsulat sebelum dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa Arab Saudi pada bulan lalu menjatuhi hukuman mati terhadap lima suspek yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Jamal, manakala seramai 11 lagi suspek sudah ditahan dan menunggu perbicaraan.
Koresponden al-Jazeera yang melaporkan dari Istanbul, Sinel Koseoglu berkata, video tersebut disiarkan buat pertama kali di saluran A Haber.
Jelasnya, video tersebut diperoleh daripada seorang wartawan meja jenayah akhbar Sabah, Ferhat Unlu.
“Bangunan konsulat sebelum ini sudah diperiksa namun pihak Arab Saudi tidak membenarkan pasukan penyiasat Turki melakukan siasatan penuh. Pendedahan terbaharu ini secara tidak langsung mengubah keseluruhan inti pati siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Arab di Washington, Khalil Jahshan menyifatkan rakaman video itu menyukarkan lagi siasatan terhadap pembunuhan Jamal sedangkan sehingga kini satu persoalan yang masih belum terjawab adalah di mana mayat kolumnis tersebut.










