PULAU PINANG 19 Jan. – Parti MCA negeri menyeru penduduk negeri ini menyokong usaha parti tersebut mendapatkan sebanyak 100,000 tandatangan daripada rakyat bagi menolak keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan hukuman mati.
Ketua Pemudanya, Lim Swee Bok berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan menandatangani petisyen itu di ibu pejabat MCA di Georgetown di sini dan di semua pejabat bahagian MCA seluruh negeri ini bermula hari ini hingga pertengahan bulan depan.
Menurut beliau, penduduk negeri ini juga boleh berbuat demikian secara online menerusi laman sosial Facebook Pemuda MCA bagi membolehkan parti itu menyerahkan petisyen berkenaan kepada kerajaan PH sebelum sidang Parlimen akan datang.
Jelasnya, kerajaan PH perlu menimbang semula keputusan menghapuskan hukuman mati kerana disifatkan tidak akan membantu menyelesaikan masalah jenayah sebaliknya akan menimbulkan lebih banyak kes serius seperti pembunuhan dan dadah.
“Kita tegas menolak penghapusan hukuman mati ini dan mencabar wakil rakyat kerajaan PH supaya tidak menyokong agenda ini ketika sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Mereka perlu mendengar suara rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang majoritinya menolak hukuman mati itu dihapuskan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










