IPOH 30 Jan. – Satu mayat yang telah reput dipercayai lelaki ditemukan di kawasan semak di Hala Jati Meru 9 berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang di sini hari ini.
Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu difahamkan dijumpai oleh kontraktor
Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mahu mencari lokasi untuk membuang sampah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu mayat tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Jantina mangsa masih belum dikenal pasti tetapi dari segi pakaian kelihatan seperti memakai pakaian lelaki.
“Buat masa sekarang kita akan buka kertas siasatan di bawah kes mati mengejut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










