KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan misi memburu gelaran kedua musim ini selepas melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Malaysia Masters.
Bekas gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu melakar kemenangan 22-20, 22-20 ke atas rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada peringkat suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Peng Soon mengakui perlawanan tersebut sukar memandangkan kedua-dua pasukan tahu mengenai corak permainan masing-masing, namun pengalaman menjadi pemisah antara mereka.
“Satu perlawanan yang sangat sukar kerana kami pernah berlatih bersama sebelum ini, jadi kedua-dua pasukan menampilkan aksi lebih berhati-hati,” katanya selepas tamat perlawanan. – K! ONLINE










