Berkat menyanyikan lagu saduran Deen Assalam, kumpulan Sabyan Gambus kini merupakan penyanyi ‘papan atas’ atau popular bukan sahaja di negara asal mereka Indonesia tetapi juga di seluruh Asia.
Masakan tidak, video lagu saduran Deen Assalam nyanyian mereka telah menjadi tular apabila meraih 190 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube sekitar tujuh bulan lalu.
Lebih menarik Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut meminati kumpulan tersebut apabila memuat naik video lagu Ya Habibal Qolbi dalam akaun Twitter @ImranKhanPTI pada 8 Disember lepas. Dalam entri tersebut, Imran turut memuji dan kagum dengan lontaran vokal penyanyi kumpulan Sabyan Gambus.
Populariti dan perhatian yang diraih secara mendadak telah mengejutkan mereka. Hal ini kerana, mereka sama sekali tidak menyangka akan menjadi terkenal. Pada awalnya, kumpulan Sabyan Gambus yang dianggotai oleh Nissa (vokalis), Ayus (keyboard), Wawan (perkusi), Kamal (darbuka), Tebe (biola) dan Anisa Rahman (vokal kedua) ditubuhkan hanyalah untuk mengisi acara-acara perkahwinan.
“Kami semua pemuzik tambahan dalam band perkahwinan dan bertemu ketika mengadakan persembahan pada acara perkahwinan. Ketika ditubuhkan pada tahun 2015, Sabyan Gambus berjalan tanpa Nissa selama setahun sebelum dia menyertai kami pada tahun 2016.
“Bermula pada tahun 2016, kami mula memuat naik video dalam YouTube dan aktif di Instagram serta semua platform digital. Tidak sangka lagu saduran nyanyian kami meraih perhatian pihak stesen televisyen dan sejak itu perjalanan seni Sabyan Gambus dipermudahkan sehingga ke hari ini,” kata Ayus yang merupakan pengasas dan ketua kumpulan berkenaan.
Meskipun begitu, sebelum Sabyan Gambus diterima baik oleh khalayak, mereka sempat menjadi mangsa kecaman apabila imej moden yang ditampilkan tidak selari dengan muzik usungan mereka. Yakin dengan pilihan dan strategi, Sabyan Gambus tidak mengalah, sebaliknya mengekalkan imej tersebut sehingga ke hari ini.
“Sebelum Sabyan Gambus tampil dengan imej moden dan santai, fesyen kami sama sahaja dengan kumpulan gambus lain di Indonesia. Namun, disebabkan sasaran kami ialah anak muda, mahu atau tidak, fesyen terpaksa diubah supaya mudah menarik anak muda,” ujar Ayus.
Selain itu, faktor kejayaan kumpulan yang melancarkan single pertama berjudul Ya Maulana pada Mei tahun lalu ialah keberanian mereka dalam menggubah muzik ketuhanan supaya kedengaran lebih segar dan mampu bersaing dengan muzik komersial yang lain.
“Kami bermula daripada muzik Arab yang dibawakan dalam acara perkahwinan. Kebanyakan kumpulan gambus di Indonesia membawakan muzik asli Arab. Jadi, saya menggubah lagu Arab dengan memberi nafas pop supaya lebih mudah diterima peminat Indonesia,” tutur Ayus.
Popular
Ramai yang bersetuju selain muzik segar Sabyan Gambus, faktor kejayaan mereka ialah tarikan yang dimiliki oleh Nissa selaku vokalis kumpulan tersebut. Meskipun baru berusia 19 tahun, Nissa atau nama sebenarnya Khoirunnisa Komarudin telah berada di tangga teratas carian Google Indonesia pada tahun lalu sekali gus menewaskan selebriti terkenal yang lain.
Terkejut dengan segala perhatian yang diterima, Nissa bagaimanapun bersyukur kerana popularitinya secara tidak langsung dapat menarik orang ramai untuk menikmati lagu ketuhanan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan populariti yang naik mendadak. Saya baru sahaja menamatkan persekolahan dan terus memulakan karier dalam bidang nyanyian, jadi tidak sangka popular secepat ini.
“Saya senang sekali apabila populariti yang ada membantu menaikkan nama Sabyan Gambus. Muzik ketuhanan sangat jarang diminati di Indonesia, melihat ia diterima dan mampu berdiri sama tinggi dengan genre lain cukup menggembirakan saya,” tutur Nissa yang merupakan graduan sekolah automotif.
Tidak hanya jelita, Nissa yang berkebolehan menyanyikan pelbagai genre lagu menolak untuk menjadi penyanyi solo, sebaliknya memilih untuk bersama Sabyan Gambus.
“Sebenarnya, daripada dulu saya tidak pernah minat untuk menyanyi secara solo sebaliknya, mahu bersama kumpulan. Alhamdulillah, sebaik tamat persekolahan saya diajak bergabung dengan Sabyan Gambus. Saya memang lebih suka mengadakan persembahan secara live dengan kumpulan berbanding menggunakan minus one,” tutur Nissa.
Dalam pada itu, Ayus turut mencelah dan memberitahu rintangan terbesar yang dilalui mereka ialah mempertahankan Sabyan Gambus sebagai sebuah kumpulan dan bukannya dikenali hanya kerana Nissa semata-mata.
“Saya yakin semua orang hanya mengenali Nissa dalam Sabyan Gambus. Jadi, paling berat buat saya mempertahankan Sabyan Gambus supaya dikenali sebagai sebuah kumpulan bukannya hanya kerana Nissa. Sebenarnya, dugaan paling berat buat Nissa kerana banyak sekali tawaran yang datang untuknya secara peribadi.
“Ada tawaran menjadi duta produk, iklan, berlakon filem dan sinetron (drama) serta berduet dengan penyanyi lain. Berat untuk Sabyan Gambus, berat lagi untuk Nissa.
Konsert di Malaysia
Bagaimana dia mahu menahan ego untuk tidak mengambil sebarang peluang yang sudah berada di depan mata,” kongsi Ayus yang mendedahkan kumpulan berkenaan menyimpan impian mahu berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selepas berjaya menawan Indonesia, Sabyan Gambus berazam mahu melebarkan sayap seni mereka ke pentas antarabangsa pada tahun ini. Antara negara yang bakal dilawati ialah Hong Kong, Korea Selatan, Turki, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu.
Biarpun begitu, kalendar 2019 Sabyan Gambus terlebih dahulu dibuka kemas dengan penganjuran konsert sulung mereka di Malaysia yang berlangsung pada malam ini.
Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019 yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor itu merupakan persembahan berskala besar pertama mereka di luar Indonesia. Bakal mendendangkan 10 buah lagu dalam konsert berdurasi tiga jam itu, Sabyan Gambus mengharapkan kehadiran mereka dapat mengeratkan silaturahim dengan peminat di Malaysia yang diberi nama Sahabat Sabyan.
“Ini konsert skala besar pertama kami di Malaysia. Diharap konsert ini dapat mengeratkan hubungan kami dengan peminat selain membantu menaikkan lagi nama Sabyan Gambus di Malaysia.
“Diharap perjuangan kami untuk mengetengahkan lagu ketuhanan dipermudahkan. Paling menyentuh hati kami apabila terdapat peminat bukan Islam yang meminati lagu-lagu Sabyan Gambus. Muzik kami bukan sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup tetapi juga berdakwah,” kata Ayus sambil memberitahu Sabyan Gambus bakal meluncurkan single keempat mereka pada konsert berkenaan.
Selain Sabyan Gambus, penyanyi Malaysia Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan kumpulan UNIC turut memeriahkan konsert yang dijangka bermula pada pukul 8.30 malam. Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Sabyan Gambus pada malam ini anda masih berpeluang berbuat demikian dengan mendapatkan tiket berharga RM249, RM299, RM359, RM499 dan RM999 menerusi laman web, www.ticket2u.com.my.
Dalam tempoh kurang tiga tahun penubuhannya, kumpulan Sabyan Gambus telah meraih populariti luar biasa apabila muzik ketuhanan usungan mereka telah memukau bukan sahaja seluruh pelosok Indonesia tetapi sehingga peringkat antarabangsa.










