KUALA KEDAH 6 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan pintu rundingan untuk membincangkan kes membabitkan pemain muda, Muhammad Akyhar Rashid sudah tertutup dan hanya akan diselesaikan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), di Switzerland.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tetap dengan pendirian tersebut dan kini mengikut prosedur dan lunas undang-undang selepas proses rayuan badan induk bola sepak Kedah itu tidak diendahkan.
Tegasnya lagi, tiada apa yang hendak dibincangkan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berhasrat untuk duduk semeja bagi menyelesaikan kemelut antara KFA dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berkaitan perpindahan penyerang kebangsaan itu.
Bagi KFA, ujar beliau, pihaknya hanya mahukan keadilan dalam isu tersebut dan sikap profesional semua pihak seharusnya ditunjukkan awal-awal lagi sebelum perkara itu berlarutan ke peringkat ini.
“Semalam saya dapat maklumat MFL nak berunding (dengan KFA) tetapi pelik sebab induknya adalah FAM bukan MFL. Kenapa MFL pula panggil untuk berbincang tapi saya rasa mungkin kalau nak bincang tentang liga, teknikal dan sebagainya, kita terimalah sebab KFA terbuka untuk perkara-perkara itu.
“Tetapi, kalau berkenaan isu (Muhammad) Akhyar, maaflah kita perlu melalui proses undang-undang dan prosedur yang betul. Kalau nak bincang tak boleh begitu kerana sepatutnya kena melalui CAS yang merupakan badan tertinggi yang akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dipetik sebagai berkata, pihaknya berhasrat untuk duduk semeja dengan KFA dan FAM dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut itu.
Difahamkan, pertemuan tersebut akan diadakan pada minggu ini dengan KFA hanya terbuka untuk berbincang isu-isu teknikal dalam liga tanpa mahu menyentuh kes membabitkan Muhammad Akyhar.
“Bagi kami apa yang kami lalui kini adalah ketidakpuasan hati kepada sesuatu keputusan dan kami ada hak untuk mengangkat kes itu ke lebih tinggi (CAS),” kata Mohd. Asmirul lagi.
Ditanya mengenai tindakan Muhammad Akhyar yang sudah turun latihan bersama JDT, Mohd. Asmirul hanya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain tersebut dan menyatakan tiada apa yang merugikan Lang Merah dengan pemergian pemenang anugerah penyerang muda terbaik itu.
“Akhyar pemain yang baik, KFA tiada masalah langsung dengan dia dan keluarganya. Bagi saya dia boleh main bersama JDT tapi proses undang-undang akan kita teruskan, itu sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE










