LIMA '19 hambar? - Utusan Malaysia

LIMA ’19 hambar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURANG tiga bulan lagi Langkawi bakal ‘bergegar’ dengan bunyi enjin pesawat pejuang sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19).

Nama-nama seperti Sukhoi; Rafale; F/A18 atau Saab Gripen jadi bualan pengunjung di Lapangan Terbang Padang Mat Sirat.

Malah, pemandangan di pulau itu juga akan berubah dengan kehadiran kapal-kapal perang dari pelbagai negara.

Akan tetapi, persoalan demi persoalan timbul dan mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan pemain industri sehingga ada yang kata acara ini batal?

Itu tak mungkin sebab Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sudah pasti menyokong acara sebegini menerusi beberapa kenyataan beliau.

Cuma, ada ‘suara’ yang mengatakan beberapa negara dan syarikat besar seperti Rosoboronexport masih belum mengesahkan kehadiran mereka.

Malah ramai ingin tahu adakah LIMA ‘19 ‘sejuk’ kerana kurangnya publisiti atau mungkin dasar dan perbelanjaan untuk pertahanan negara yang berjumlah kira-kira RM15 bilion menyebabkan syarikat serta negara luar membuat andaian bahawa Malaysia tidak berminat mendapatkan aset baharu buat masa ini?

Atau mungkin juga dasar hubungan luar Malaysia yang kini lebih memandang ke ‘Timur’ menyebabkan negara besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) ‘menyepi’ dan tidak memberi kata putus terhadap penyertaan dalam acara LIMA ‘19?

Apa yang pasti acara dwi tahunan cetusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bermula pada tahun 1991 ini penting dalam pelbagai aspek sama ada pelancongan; pertahanan dan ekonomi negara.

Jangan biarkan LIMA ‘19 yang diadakan pada 26 sehingga 30 Mac ini sepi kerana ia mempunyai signifikan tersendiri kepada negara dan penduduk Langkawi sendiri.

Jika tiada pembelian aset baharu sekalipun, mungkin ada sesuatu yang boleh diperoleh Malaysia un­tuk pembangunan industri pertahanan bagi menyaingi negara jiran yang kini sudah mampu mengeluarkan kereta perisai Anoa 6×6, raifal penembak tepat SPR-2 dan pesawat pengangkut CN-235.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN