KOTA BHARU – Seorang lelaki yang berang dengan memecahkan pintu lima bilik hotel semasa mencari isteri yang hilang sejak sebulan lalu menjadi punca kepada kejadian melepaskan tembakan di Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu pergi ke sebuah hotel di Rantau Panjang kerana menerima maklumat wanita berusia lingkungan 30-an ‘bersembunyi’ di situ.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, apabila tiba di hotel berkenaan lelaki itu dikatakan memecahkan lima pintu bilik dalam keadaan berang.
“Selepas gagal menemui isterinya, lelaki itu masuk ke dalam kereta Mercedes untuk ke rumah rakannya. Lelaki itu kemudian tiba-tiba diserang tiga beradik lelaki berusia 22 hingga 26 tahun yang merupakan penjaga parking di hotel tersebut bersenjatakan kayu besbol dan parang.
“Mangsa kemudian masuk ke dalam keretanya untuk mengambil sebilah parang. Salah seorang suspek kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dan mengenai kereta Mercedes berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa bernasib baik selepas pistol tersebut tersekat dan mengakibatkan suspek tidak dapat melepaskan tembakan selepas itu.
Hasanuddin berkata, mangsa sempat menundukkan kepala untuk melindungi diri daripada tembakan pistol berkenaan.
“Mangsa cuba melarikan diri dengan keluar dari kenderaan namun suspek mengugut akan menembaknya sekiranya meneruskan hasrat tersebut.
“Dia yang berhenti melarikan diri kemudian dipukul dengan kayu besbol dan pistol di kepala sebelum suspek beredar meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, penduduk di sekitar kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang, digemparkan dengan tiga das tembakan yang dilepaskan di kawasan terbabit. – K! ONLINE











