Lelaki ubah suai barangan harian untuk disumbat dadah ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki ubah suai barangan harian untuk disumbat dadah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang lelaki menyembunyikan dadah dalam pakaian dalam wanita serta beberapa barangan harian sebelum diseludup akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah di Bukit Prima Melati di sini dalam satu operasi khas Sabtu lalu.

Operasi khas tersebut telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman disertai oleh anggota dari JSJN Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 8 malam itu polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.

“Pihak polis telah menemui serbuk dadah disyaki ketamin seberat 3.7 Kilogram bernilai RM125,000 di dalam rumah tersebut yang dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih kurang 3,700 orang penagih.

“Turut dirampas di rumah tersebut adalah dua pucuk pistol angin jenama Glock Compact serta Baretta dan selaras senjata angin jenis M4 berserta magazin masing-masing,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Menurut Mazlan, lelaki berkenaan berperanan sebagai “pakar pengubahsuai” yang melakukan modifikasi pada barangan harian agar dapat menempatkan dadah sebelum diberikan kepada keldai dadah untuk diseludup ke luar negara.

“Antara barangan yang ditemui telah diubahsuai oleh suspek adalah beberapa helai pakaian dalam wanita, kasut, kotak-kotak telefon bimbit serta beberapa bekas minuman.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek beroperasi sendirian atau terlibat dengan sindiket dadah,” jelas beliau.

Mazlan berkata, turut disita adalah dua buah kereta jenis Mercedes milik suspek bernilai RM100,000.

“Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari sehingga 1 Februari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN