Lelaki terkaya di Filipina meninggal dunia - Utusan Malaysia

Lelaki terkaya di Filipina meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA – Lelaki terkaya di Filipina, Henry Sy yang dianggarkan mempunyai kekayaan bernilai AS$19 bilion (RM78 bilion) meninggal dunia semalam pada usia 94 tahun, kata konglomeratnya.

Sy yang berasal dari bandar Xiamen, China papa kedana ketika tiba di Filipina sebelum membina empayar perniagaan terbesar di negara itu.

Mendiang membangunkan konglomerat pusat beli-belah dengan membina beberapa pasar raya terbesar di seluruh dunia.

Empayar perniagaannya turut meliputi pegangan dalam sektor perbankan, hotel dan hartanah di Filipina di sam­ping beberapa pusat beli-belah di China.

“Henry Sy me­ninggal dunia semasa tidur awal semalam. Buat masa ini tiada maklumat lanjut dapat dikongsikan,” demikian menurut kenyataan konglomerat SM kepada agensi berita AFP.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi konglomerat tersebut pada tahun 2017, namun menamakan beberapa pewaris termasuk anak-anaknya untuk mentadbir empayar tersebut.

Sy membina kedai kasut pertamanya di pusat bandar Manila pada tahun 1956 sebelum perniagaan itu berkembang menjadi sebuah konglomerat. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai pembantu di kedai runcit bapanya.

“Kedai kami dahulu sangat kecil sehinggakan tiada tingkat atas atau ruang belakang, kami cuma tidur di atas kaunter pada waktu malam selepas kedai ditutup,” kata­nya kepada akhbar Philippine Star pada tahun 2006.

Bapanya kembali ke China selepas kedai mereka musnah ketika Perang Dunia Kedua tetapi Sy memilih untuk terus tinggal di Filipina.

Sy juga mencetus budaya pusat beli-belah di Filipina dengan menyediakan pusat sehenti pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung. Syarikat miliknya membuka pasar raya pertama di Manila pada tahun 1985. Mendiang memiliki 70 pusat beli-belah menjelang 2018.

Pasar raya pertama milik­nya di China dibina pada tahun 2001. Keluarga mendiang kini mempunyai tujuh buah pusat beli belah, enam hotel dan lapan bangunan pejabat di negara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×