Lelaki pukul, tarik rambut bekas isteri dijel enam bulan - Utusan Malaysia

Lelaki pukul, tarik rambut bekas isteri dijel enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Tindakan seorang buruh memukul bekas isterinya termasuk menarik rambut wanita itu akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd. Nazrin Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Sathiya, 35, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, Sathiya didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya N. Siva Sangari, 33, dengan cara memukulnya menggunakan tangan di bahagian kepala termasuk menarik rambut wanita itu.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 malam di sebuah rumah pangsa Sri Siantan di sini, 21 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sathiya yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya hukuman penjara terhadapnya diringankan dengan alasan perlu menanggung seorang anak berusia enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd. Nazrin memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 November lalu. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×