Lelaki OKU guna wang JKM beli dadah - Utusan Malaysia

Lelaki OKU guna wang JKM beli dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang lelaki yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sanggup menggunakan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli dadah sejak setahun lalu. 

Tindakan tidak bertanggungjawab suspek berusia 44 tahun yang tempang kaki kanan itu terbongkar selepas ditahan pukul 4.30 petang di Teluk Menegun dalam Ops Cegah dan Aduan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah ini semalam. 

Menurut sumber, penahanan lelaki OKU itu dilakukan di rumah sewanya hasil maklumat orang awam terhadap kegiatan penyalahgunaan dadah oleh suspek berkenaan. 

Katanya, sewaktu ditahan suspek menggunakan alasan untuk menunaikan solat bagi melepaskan diri. 

“Soal-siasat mendapati suspek mengakui menagih dadah sejak setahun lalu dengan menggunakan sebahagian daripada wang bantuan JKM negeri bagi membeli heroin. 

“Suspek menggunakan alasan bahawa badannya akan lemah sekiranya tidak menagih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. 

Difahamkan, suspek yang kini merupakan penggangur menerima bantuan bulanan berjumlah RM500 sejak mengalami kemalangan dua tahun lalu. 

Sumber turut menegaskan hasil ujian air kencing mendapati suspek OKU itu positif jenis heroin.

Dalam pada itu, sumber sama turut memaklumkan AADK turut menahan lapan lagi penagih termasuk seorang wanita di beberapa rumah teres di sekitar Lorong Bedul dan Pulau Indah yang dijadikan sebagai sarang penagihan mereka dalam operasi yang sama. 

Ujarnya, kesemua suspek berusia 27 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi operasi bermula pukul 3 petang hingga 10 malam. 

“Ujian kencing mendapati tujuh suspek lelaki positif heroin manakala wanita itu positif syabu. 

“Kesemua mereka termasuk OKU itu kini direman selama 14 hari,” katanya.  

Sementara itu, Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad mengesahkan perkara tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×