Habuan tidak ganggu tujuan asal atlet - Nazmizan

Habuan tidak ganggu tujuan asal atlet – Nazmizan

Nazmizan Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Habuan lumayan yang ditawarkan oleh beberapa persatuan sukan kepada atlet negara menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya bukan pengganggu fokus, sebaliknya mampu menjadi pembakar semangat selain menjamin kehidupan mereka selepas bersara.

Bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, atlet wajar melihat pelbagai insentif seperti wang tunai, rumah dan kereta dari sudut positif kerana tempoh kerjaya mereka dalam sukan amat singkat.

Katanya, atlet juga perlu memikirkan masa depan memandangkan kecederaan serius atau kemerosotan prestasi boleh memaksa mereka menamatkan karier lebih awal daripada dijangka.

“Bagi saya, ganjaran kepada atlet ini bagus kerana jangka hayat seorang atlet tidak panjang. Kalau mengalami kecederaan serius, mungkin terus bersara.

“Jadi, apabila ada ganjaran, sekurang-kurangnya atlet boleh menyimpan untuk masa depan. Kalau menang dan mendapat RM200,000 atau RM300,000, itu boleh menjadi bekalan untuk tempoh 20 atau 30 tahun selepas tidak lagi bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nazmizan berkata, pemberian ganjaran yang diumumkan lebih awal juga tidak seharusnya dilihat sebagai tekanan tambahan kerana atlet sudah mengetahui habuan yang menanti berdasarkan pencapaian mereka.

Sebaliknya, beliau menegaskan segala-galanya terpulang kepada atlet untuk mengurus insentif berkenaan dengan baik tanpa membiarkannya menjejaskan persiapan menghadapi pertandingan.

“Benda itu tidak mengganggu. Kalau nak kata mengganggu, dari dulu lagi atlet sudah tahu apabila menang pingat akan dapat habuan tertentu.

“Sekarang lebih telus. Menang pingat emas, sudah tahu berapa yang akan diterima. Jadi, atlet perlu fokus kepada prestasi dan selepas itu pandai mengurus rezeki yang diperoleh,” katanya.

Menurut Nazmizan, ganjaran berbentuk aset seperti rumah dan kereta pula memberikan manfaat jangka panjang kerana atlet tidak lagi perlu memikirkan komitmen besar selepas bersara.

“Kalau dapat rumah, sekurang-kurangnya selepas bersara dia sudah ada tempat tinggal dan tidak perlu fikir untuk bayar rumah setiap bulan.

“Begitu juga kereta. Kalau semua itu sudah ada, selepas bersara dengan pendapatan biasa pun dia boleh gunakan untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×