NILAI – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah van sekolah di Jalan Labu-Gadong pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, G.Baskaran, 59, yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila van sekolah itu terbabas ke laluan bertentangan.
“Van sekolah jenis Toyota itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan semasa sedang bergerak dari arah Labu menghala Gadong.
“Kenderaan itu kemudian melanggar motosikal ditunggang mangsa menyebabkan motosikal itu tercampak ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kata beliau, pemandu van sekolah tanpa penumpang itu iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun turut mengalami kecederaan pada kepala.
“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya. – K! ONLINE










