PULAU PINANG 5 Jan. – Seorang lelaki yang pernah dikenakan hukuman penjara dan sebat akibat dua kesalahan mencabul pada 2016 dan 2017 ditahan polis hari ini setelah dipercayai mencabul dua gadis di sekitar Balik Pulau di sini.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan polis dalam satu serbuan di Kuala Jalan Bahru, Balik Pulau hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, suspek juga mengaku terlibat dalam dua kejadian cabul ke atas dua gadis berusia 23 dan 21 tahun itu.
“Kes pertama melibatkan suspek berlaku Khamis lalu yang mana suspek telah menghimpit motosikal mangsa di tepi jalan berhampiran Masjid Teluk Kumbar dan memegang buah dada mangsa ketika mangsa memberhentikan motosikalnya.
“Mangsa kemudiannya menjerit dan suspek tersebut berpatah balik menuju ke jalan Bukit Lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anbalagan berkata, kes kedua melibatkan suspek berlaku di hadapan Balai Bomba Kampung Terang, Tepi Jalan Balik Pulau semalam.
“Mangsa memberhentikan motosikalnya kerana dihimpit oleh suspek dan suspek telah memegang buah dada mangsa.
“Mangsa terus beredar tetapi dihimpit kali kedua oleh suspek lalu dan sekali lagi diraba di tepi jalan berhampiran Pondok Polis Pulau Betong,” katanya.
Menurut Anbalagan, suspek ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE









