KUALA LUMPUR 21 Jan. – Orang ramai terutama peminat sukan marathon dipelawa menyertai acara Larian Ultron KL City 2019 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada 8 September ini.
Program bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 termasuk cabutan bertuah.
Presidennya, Mohd. Roslan Mohd. Rafi berkata, acara yang berlangsung pada pukul 6 pagi itu akan disertai kira-kira 10,000 peserta dari Malaysia, Thailand, Jepun, India, Kenya, Sudan, Sepanyol dan Jerman.
“Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan dalam acara ini iaitu 10 kilometer (km) terbuka lelaki dan wanita, senior lelaki dan senior wanita; lima km individu terbuka lelaki dan wanita serta lima km untuk keluarga.
“Pertanyaan dan pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian di http://www.racexasia.com/. Pendaftaran akan dibuka selepas perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










