KUALA LUMPUR 1 Jan. – Berita penwartaan premis makanan sebagai kawasan larangan merokok yang bermula hari ini disambut baik oleh semua lapisan masyarakat namun pelaksanaannya mungkin dilihat masih samar.
Antara persoalan yang bermain di fikiran orang ramai adalah keupayaan agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab yang agak berat kerana melibatkan aspek pemantauan yang luas dan rumit.
Itu belum dikira ‘kelonggaran’ tempoh pemantauan selama enam bulan yang meletakkan golongan perokok dalam zon selamat untuk terus merokok di tempat awam.
Jika dinilai pada kelonggaran yang diumumkan Kementerian Kesihatan untuk tidak mengenakan sebarang saman kepada perokok sehingga pertengahan tahun ini, mampukah kita melihat restoran dan premis makanan diisytihar sebagai kawasan bebas asap rokok.
Begitu juga dengan kebenaran untuk merokok kira-kira tiga meter dari kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan. Walaupun berada di luar radius larangan, asap rokok sebenarnya masih terkesan kepada orang ramai.
Dalam kata lain, kelonggaran tempoh percubaan itu secara tidak langsung menyebabkan perokok dan pemilik premis perniagaan tidak akan mengendahkan arahan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Alasan mereka pasti mudah iaitu tidak akan disaman sehinggalah pertengahan tahun ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah restoran 24 jam di sekitar Menara Berkembar KLCC selepas sambutan Tahun Baru malam tadi mendapati orang ramai masih tidak mematuhi arahan tersebut.
Manakala di Bandar Permaisuri, Cheras, pelanggan restoran tanpa segan-silu merokok walaupun kebanyakan premis telah ditampal notis larangan merokok.
Pegawai khidmat pelanggan, Muhd. Luzman Mohd. Nasir, 37, berkata, arahan larangan merokok yang bermula hari ini tidak akan berjaya jika kerajaan dilihat seperti tidak serius.
“Saya ingat larangan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya dengan saman bermula hari ini tapi rupanya tiada denda untuk tempoh enam bulan pertama.
“Jika kerajaan betul-betul mahu melaksanakannya, saman perlu dikeluarkan kepada perokok. Kalau tidak, ia hanya mengelirukan banyak pihak,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Mohd. Khalifah Aris, 40, berkata, kebenaran untuk merokok pada jarak tiga meter dari premis juga seperti tidak masuk akal kerana jarak tersebut terlalu dekat.
“Kalau mereka merokok pada jarak itu, asap rokok tetap berlegar di sekitar restoran dan boleh timbul pula isu buang puntung rokok merata-rata.
“Lebih baik kalau pemilik premis sediakan tempat khas sebagai bahagian atau tempat merokok dengan syarat ia terasing dengan kawasan bukan perokok,’’ katanya.
Katanya, tempoh percubaan yang bertujuan mendidik masyarakat tidak akan memberi apa-apa erti jika penguatkuasaan undang-undang dilihat masih lemah pada mata orang awam.










