INCHEON – Seramai lapan orang warga Malaysia ditahan dan didakwa kerana menyeludup dadah jenis syabu bernilai AS$39.4 juta (RM162 juta) ke Korea Selatan, kata pendakwa raya kelmarin.
Pejabat Pendakwa Raya Daerah Incheon berkata, suspek warga Malaysia itu ditahan awal bulan ini dalam satu siasatan bersama oleh pejabat kastam dan Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS).
Kesemua lapan suspek dituduh cuba menyeludup 13.3 kilogram syabu dari Malaysia ke Korea Selatan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae sebanyak lima kali dari 27 Disember 2018 sehingga 17 Januari lalu.
Suspek membungkus setiap bungkusan menggunakan plastik mengandungi satu hingga dua kilogram bahan terlarang tersebut yang diikat pada paha dan abdomen dengan pembalut sebelum cuba melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang tersebut.
Kebanyakan suspek dituduh sebagai keldai dadah yang menerima arahan daripada sindiket dadah Malaysia, kata pejabat berkenaan.
Dadah yang dirampas mampu membekalkan sebanyak 440,000 dos pengambilan. – Agensi











