Lan Solo ubati kerinduan peminat - Utusan Malaysia

Lan Solo ubati kerinduan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH 20 tahun berada dalam bidang seni memberi pelbagai pengalaman buat penyanyi ini. Jika sebelum ini dia lebih dikenali sebagai vokalis sebuah kumpulan rock, namun sejak setahun lalu nama Lan Solo berjaya meletakkannya di tahap berbeza.

Ternyata keputusan untuk tampil solo bukan sesuatu yang mudah, malah pada bulan pertama ramai yang masih sangsi akan kemampuan Lan untuk bergerak sendiri tanpa kekuatan kumpulan Kristal.

Sentiasa positif dengan perancangan kariernya, bagi Lan atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 33, pilihan untuk menjadi penyanyi solo tidak bermakna dia perlu melupakan segala memori yang pernah dilaluinya bersama Kristal.

Bakal muncul dengan Lan Solo Next Level Showcase pada 2 Mac bertempat di Matic, Jalan Ampang, kali ini dia bukan sahaja bakal beraksi secara berseorangan, malah turut disertai lima lagi bekas anggota kumpulan Kristal yang sebelum ini turut menyumbang kepada kekuatan kumpulan itu.

“Antara bekas anggota Kristal yang akan turut serta dalam persembahan saya kelak ialah Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai. Selepas saya meninggalkan Kristal, mereka antara orang yang pertama menghubungi saya.

“Tidak salah rasanya untuk saya sertakan mereka dalam persembahan ini memandangkan kami memegang status yang sama sebagai bekas ahli kumpulan Kristal,” katanya.

Tidak melihat wujud masalah untuk dia kembali menyanyikan lagu-lagu Kristal, kongsi Lan, lagu-lagu tersebut juga antara kenangan sepanjang dikenali sebagai vokalis kumpulan rock itu selama 18 tahun.

“Lagu-lagu itu juga adalah memori saya bersama Kristal.

“Jadi tidak timbul isu boleh atau tidak saya nyanyikan kembali lagu-lagu popular Kristal. Antara lagu yang saya akan bawa pada persembahan itu kelak ialah Seragam Hitam, Delaila, Luahan Hati dan Resam Pak Belalang,” katanya.

Tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu besar pada mulanya, namun dengan sokongan rakan-rakan yang yakin dengan kemampuannya, dia akhirnya bersikap lebih terbuka.

“Saya tak berniat mahu buat dalam skala besar, cuma rancang diadakan di sebuah lokasi kecil saja.

“Tetapi selepas diyakinkan, saya mahu buktikan yang saya mampu membawa jenama terkini ke tahap yang berbeza,”

“Setiap penyanyi harus ada cita-cita yang lebih besar. Harapnya, selepas persembahan ini kelak, rezeki saya akan lebih cerah,” katanya lagi.

Menolak tanggapan yang persembahan solonya itu bakal menyebabkan peminat Kristal berada dalam dilema, kata Lan dia yakin yang peminat kini lebih bijak untuk menilai dan akan terus menyokong dirinya. – Aida Rizmariza Kamaruddin

Rindu jadi vokalis

Serasi untuk meneruskan Lan Solo Next Level Showcase dengan bekas anggota Kristal yang lain, dia bagaimanapun buat masa ini tidak melihat ada ruang untuk kembali menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian.

“Selepas setahun bergelar penyanyi solo, tipu kalau saya katakan tidak rindu untuk berada dalam sebuah kumpulan. Ikutkan memang saya selesa untuk beraksi dengan kumpulan, tetapi dalam waktu ini banyak perkara yang perlu saya nilai terutama dalam konteks peluang untuk mencari pendapatan.

“Untuk kembali menjadi vokalis sebuah kumpulan secara tetap mungkin tidak lagi, namun untuk mewujudkan sebuah kumpulan khas berdasarkan projek mungkin bukan sesuatu yang mustahil untuk saya,” katanya.

Tidak sekadar persembahan biasa, itu juga adalah cara untuk dia membantu ibu bapa lain yang turut mempunyai anak sumbing.

Pernah melalui sendiri kesukaran tersebut, kata Lan, ini adalah waktu yang sesuai untuk dia berkongsi maklumat mengenai Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia( Clapam).

“Melalui persembahan ini juga saya mahu uar-uarkan Clapam yang selama ini banyak membantu saya dan isteri berhubung masalah sumbing anak keempat saya, Nur Amna Quxandra. Pada mulanya saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini.

“Jadi saya tidak mahu ibu bapa lain di luar sana juga melalui pengalaman yang sama selain dapat membantu anak mereka juga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN