SUDAH banyak konsert berskala besar dijayakan figura ini sepanjang lebih tiga dekad mengukir nama sebagai anak seni.
Wanita berusia 52 tahun ini bukan calang-calang. Namanya mega dan masyhur di atas paksi satu-satunya artis perempuan yang sinonim dengan genre rock sehingga dinobatkan sebagai Ratu Rock negara.
Memegang nama Nor Zila Aminuddin atau lebih mesra disapa sebagai Ella, perjalanan seninya berada dalam kelas tersendiri.
Puluhan konsert, persembahan mini dan pelbagai lagi acara pentas dijayakannya dengan cemerlang sambil ditemani pemuzik yang setia di belakangnya.
Cuma satu yang belum tertunai iaitu mengadakan satu persembahan akustik yang menjadi idamannya sekian lama.
Nampaknya penantian Ella bakal berakhir apabila konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur pada 29 hingga 31 Mac depan bakal menjadi sejarah paling manis dalam kariernya.
Isteri kepada Azhar Husaini Ghazali itu mendedahkan yang dia bakal mendendangkan beberapa buah lagu asli dalam segmen khas yang direncana lebih awal.
Menurut penyanyi lagu Pengemis Cinta ini, meskipun dia lebih cenderung ke arah alunan muzik rock & roll, namun sebagai seorang penyanyi versatil, sudah pasti dia juga memiliki bakat lain yang tidak dipamerkan sebelum ini.
“Saat pertama kali memberi idea untuk buat konsert ini, saya terus terfikir nak bawakan lagu-lagu berentak asli. Selepas buat keputusan itu, saya pula yang tidak boleh tidur malam.
“Buat masa ini saya sedang memilih lagu asli yang sesuai dinyanyikan dalam konsert ini nanti. Salah sebuah lagu yang akan saya bawakan ialah lagu Allahyarham Tan Sri S. M. Salim berjudul Tak Seindah Wajah,” ungkapnya.
Mengakui yang dia peminat genre lagu asli, Ella optimis dan positif andai percubaan menonjolkan kelainan dengan menyampaikan lagu-lagu asli tidak mendapat persetujuan peminat tegarnya.
“Sebagai seorang penyanyi, kita selalu inginkan pembaharuan dalam setiap persembahan. Saya yang akan pilih lagu asli itu dan akan dinyanyikan secara akustik mengikut cara saya.
“Mungkin waktu sekarang orang tertanya-tanya mengapa saya ingin menyanyikan lagu asli sedangkan saya terkenal dengan muzik rock. Apa yang boleh saya katakan, selepas mereka dengar nanti, baru akan dapat jawapannya,
“Kalau mereka mengikuti perkembangan seni saya selama ini, sebuah lagu asli berjudul Jauh di Mata pernah saya rakamkan lama dahulu,” kata Ella yang akan menyampaikan 20 buah lagu dalam konsert yang akan berlangsung selama satu jam 30 minit.
Katanya, dalam apa keadaan sekali pun, dia bersedia menghiburkan peminat dan telah membuat persediaan bagi menambah stamina, menjaga kesihatan dan pemakanan agar segalanya berjalan lancar.
“Saya bersedia untuk menghiburkan peminat walaupun memerlukan banyak stamina memandangkan konsert ini adalah akustik.Justeru, banyak aspek yang perlu dititkberatkan.
“Soal pemilihan lagu pula, sudah semestinya seleksi lagu hits akan menjadi keutamaan untuk penonton yang hadir,” katanya saat diminta berkongsi persiapan menuju hari ‘besar’ tersebut.
Tidak risau sambutan
Selain konsert Ella, penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza juga akan mengadakan konsert besar pada bulan yang sama.
Bertanya tentang kegusaran yang dialami membabitkan penjualan tiket, Ella tidak berasa bimbang melihatkan kepada persaingan yang akan berlaku.
Kata Ella, dia melihat perkara itu sebagai perkembangan yang sihat apabila ramai penyanyi tempatan mula mengadakan konsert berskala besar.
“Lebih banyak lebih meriah! Ini bukti industri muzik tempatan aktif kembali dengan adanya artis-artis ternama lain mengadakan konsert.
“Tentang sambutan saya tidak bimbang kerana genre kami berbeza. Maka, peminat boleh membuat pilihan yang menepati jiwa dan halwa telinga mereka,” jelasnya.
Beralih arah tentang hal lain, Ella tidak menjadikan konsert versi akustik itu sebagai platform terakhir untuk dia menghiburkan peminatnya yang setia sejak 30 tahun lamanya.
“Saya tidak boleh janjikan itu (konsert terakhir). Banyak perkara yang masih ingin saya lakukan. Promosi album dan sebagainya.
“Malah, saya baru sahaja menyudahkan klip video bagi single kedua album terbaharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” akhirinya.
Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM179 hingga RM519 atau RM159 hingga RM489 (bidaan awal yang bermula semalam).
Tempahan tiket boleh dibuat menerusi laman web www.proticket.com.my.
Sebahagian daripada hasil penjualan tiket itu akan didermakan kepada Yayasan Autisme Malaysia (YAM).










