KUALA LUMPUR 21 Jan. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menasihatkan orang ramai agar mengambil pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengikut kemampuan supaya ansuran bulanan boleh dibayar menggunakan wang sendiri.
PNB menerusi kenyataan di sini berkata, melalui cara itu modal pelaburan mereka akan berkembang dari tahun ke tahun dan pelabur memiliki tabungan jauh lebih besar berbanding jumlah pinjaman diambil di akhir tempoh pinjaman.
“Kita ingin mengingatkan pelabur supaya mengambil pembiayaan ASB menggunakan wang sendiri untuk membayar ansuran bulanan, bukannya mengharapkan dividen semata-mata.
“Ini kerana apabila dividen digunakan untuk membayar hutang, pelaburan tidak akan berkembang kerana tiada pertambahan dalam modal dilaburkan. Selain itu, pelabur terdedah kepada risiko turun naik dividen yang mungkin menyebabkan mereka tidak mampu melunaskan ansuran bulanan sekiranya dividen berkurangan daripada jumlah yang perlu dibayar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tip itu dikongsikan dalam Seminar Pelaburan 360 Hari bersama ASNB di Bangi dekat sini kepada orang ramai supaya mengetahui kaedah terbaik mengurus pinjaman tersebut dan risiko yang perlu ditanggung. – UTUSAN ONLINE










