Kutipan Cukai Langsung 2018 berdasarkan sistem taksiran tahun semasa - Utusan Malaysia

Kutipan Cukai Langsung 2018 berdasarkan sistem taksiran tahun semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Peningkatan kutipan kasar cukai langsung sebanyak RM13.72 bilion atau
11.13 peratus pada tahun lalu merupakan pencapaian daripada kutipan pada tahun 2018 berdasarkan taksiran dan perkembangan ekonomi yang berlaku pada tahun yang sama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada tahun 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak sebaliknya mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Jelasnya, peningkatan itu disokong dengan prestasi kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan sebanyak 34 peratus pada 2018 yang merupakan tahun pertama cukai tersebut diperkenalkan semula. 

“Sistem percukaian negara khususnya pengenaan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 berkaitan komponen syarikat, koperasi dan individu telah lama bertukar kepada sistem taksiran tahun semasa dan bukan lagi sistem taksiran tahun sebelumnya. 

“Pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi Akta Cukai Pendapatan 1967 telah mula berkuat kuasa sejak tahun taksiran 2000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akbar Kosmo! hari ini melaporkan, sebanyak RM137.035 bilion dikutip menerusi kutipan kasar cukai langsung negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Kutipan cukai langsung bagi 2017 iaitu sebanyak RM123,312 bilion dan peningkatan yang dicatatkan pada tahun lalu disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain. 

Sementara itu, menurut Guan Eng, pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi cukai pendapatan petroleum yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (Petroleum) 1967 telah mula berkuat kuasa daripada tahun taksiran 2010.

Jelasnya, berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, cukai yang dibayar dalam suatu tahun contohnya oleh syarikat bagi tahun lalu adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang kena dibayar oleh syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun 2018. 

Ujarnya, anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun 2018 katanya, perlu dikemukakan LHDN iaitu 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang tahun 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang telah dibuat. 

“Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya. 

“Ini kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan. Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN