KLANG 10 Jan. – Seorang ibu tunggal di Kolej Impian Bandar Armanda Putra, Pulau Indah di sini semakin dihimpit kesulitan selepas ditinggalkan suami sejak lebih setahun lalu.
Azlina Zainal Abidin, 42, berkata, beban semakin dirasai selepas suami yang menjadi tempat bergantung harap selama ini menghilangkan diri tanpa khabar berita.
Azlina yang tidak boleh membaca dan menulis itu memberitahu, untuk menyara kehidupan dia terpaksa mengutip barang terbuang untuk dikitar semula.
“Walaupun saya menerima bantuan yang disediakan oleh Pusat Zakat sebanyak RM400 sebulan, ia tidak cukup menyara kami sekeluarga, “ kata ibu kepada tiga anak berusia setahun enam bulan hingga 19 tahun ini kepada Utusan Malaysia .
Katanya, disebabkan masalah kewangan itu juga anak sulungnya, terpaksa berhenti sekolah.
“Setiap hari saya akan keluar pagi dan balik malam untuk mencari rezeki. Pendapatan kadang-kadang tidak mencapai RM100 sebulan dan ini menyukarkan kehidupan kami sekeluarga.
“Wang itulah yang perlu agihkan untuk persekolahan anak, keperluan dapur dan kos perubatan memandangkan saya telah disahkan menghidapi penyakit kanser payudara, sawan serta asma,” katanya.
Menurut Azlina, dia terpaksa berhutang di kedai runcit dan kenalan bagi meneruskan kehidupan malah, kadangkala terpaksa ikat perut kerana tidak mempunyai wang.
“Selain itu, saya juga menghadapi masalah untuk mendapatkan bantuan kerana pihak berkenaan mahukan surat cerai ataupun kematian bagi membuktikan saya ibu tunggal,”katanya.
Orang ramai yang bersimpati dengan Azlina boleh meng-hulurkan bantuan melalui Bank Islam Malaysia Berhad di nombor. 030900224884 atas nama Azlina Zainal Abidin atau menghubunginya di talian 011 21044529.









